PELABUHAN KLANG – Seorang wanita warga asing ditemui mati dibunuh dalam sebuah bilik di Jalan Kem, Pelabuhan Klang petang semalam.
Mayat mangsa berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak berpakaian.
Selain itu terdapat kesan jerut pada leher mangsa yang juga warga Indonesia dengan menggunakan tali kasut.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik berkata Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli bahawa, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 6.30 petang berhubung penemuan mayat itu.
Beliau berkata, siasatan mendapati tiada kesan pergelutan dan bilik berkenaan dalam keadaan berselerak.
Menurutnya, mangsa ditemui rakannya yang mengunjunginya petang semalam.
“Ketika ditemui mangsa sudah tidak bernyawa dan memakai gelang emas di tangan kanan serta sepasang subang emas.
“Tiada kecederaan lain dikesan pada mangsa,” katanya.
Susulan kejadian itu katanya, seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan bedah siasat akan dijalankan hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.