Istilah ‘Unduk Ngadau’ Masih Disalah Gunakan Penganjur Swasta – Joanna

Istilah ‘Unduk Ngadau’ Masih Disalah Gunakan Penganjur Swasta – Joanna

0
SHARE
Joanna (kiri) bersama pemenang ratu cantik Unduk Ngadau Sabah Maya Hejnowska...

KOTA KINABALU, SABAH – Istilah ‘Unduk Ngadau’ telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi pertandingan budaya itu daripada disalahgunakan seperti sebelum ini.

Pengerusi pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau, Joanna Kitingan berkata, walaupun mereka telah mendaftarkan istilah itu dengan MyIPO, mereka masih melihat ia disalahgunakan oleh penganjur pertandingan ratu cantik swasta yang lain.

“Sebagai pengerusi Unduk Ngadau selama bertahun-tahun dan setelah meneliti 62 tahun terakhir Unduk Ngadau, saya terkejut melihat satu lagi organisasi kecantikan menggunakan perkataan “Real Beauty Unduk Ngadau 2022”, kata Joanna dalam satu kenyataan semalam.

Joanna berkata beliau hanya memperjuangkan erti sebenar Unduk Ngadau seperti yang dilafazkan oleh Bobohizan (golongan rahib wanita Kadazan Dusun) iaitu kecantikan Huminodun yang rela mengorbankan nyawa demi rakyatnya.

“Dia (Huminodun) adalah contoh pemerkasaan wanita sehingga sanggup mengorbankan diri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa pertandingan budaya Unduk Ngadau telah diadakan sejak 62 tahun lalu dan ia masih relevan sehingga kini.

“Banyak pertandingan ratu cantik lain telah mencontohi cara penganjuran Unduk Ngadau di peringkat daerah…

“Malah Unduk Ngadau versi lelaki seperti “Mr. Kaamatan” telah menjadikan pertandingan mereka lebih bermakna dengan mewajibkan peserta bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan memakai pakaian tradisional dari setiap daerah dan menerangkan pakaian yang mereka pakai,” katanya.

Joanna menambah, sebab mereka mendaftarkan Unduk Ngadau dengan MyIPO adalah untuk melindungi pertandingan budaya itu disalahgunakan seperti sebelum ini.

“Tetapi kita masih melihat ia disalahgunakan oleh penganjur pertandingan swasta…

Kami tidak mahu perkataan Unduk Ngadau menonjol dan merosakkan budaya kami dan wanita kami,” kata Joanna.

“Dahulu, beberapa pertandingan yang digelar sebagai Unduk Ngadau diadakan di tempat yang tidak sepatutnya dan oleh sebab itu kami mendaftarkannya.

“Badan kebudayaan lain yang menganjurkan Unduk Ngadau mesti mempunyai pemahaman yang betul serta menghormati budaya kita,” katanya.

Dia juga berkata bahawa setelah melihat dan menilai begitu banyak pertandingan kecantikan budaya dan pelancongan, beliau berpendapat ia amat jauh sekali daripada mengangkat imej wanita muda ataupun memperjuangkan hak Wanita.

“Apa yang kami mahu adalah untuk melindungi imej wanita yang dieksploitasi secara seksual kerana terlalu mendedahkan diri mereka dengan pakaian yang diminta untuk dipakai semasa pertandingan sedemikian,” katanya.