LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam, petang semalam.
Pusat Gerakan menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum jentera dari BBP Lahad Datu tiba di lokasi pada jam 5.16 petang.
Kemalangan melibatkan sebuah lori, excavator, Perodua Alza, Proton Saga FLX dan sebuah motosikal.
Pasukan operasi mendapati lori dari arah Lahad Datu ke Tawau bertembung dengan beberapa kenderaan dari arah bertentangan, manakala excavator berada di tapak pembinaan Pan Borneo berhampiran lokasi kejadian.
Seramai enam mangsa dari Proton Saga FLX dikenal pasti, dengan sebahagian telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Seorang wanita disahkan maut di lokasi, manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital.
Tiga lelaki dari Perodua Alza serta pemandu excavator dilaporkan selamat, sementara pemandu lori dan penunggang motosikal telah dibawa ke hospital lebih awal.
Operasi melibatkan 11 anggota bomba bersama PDRM dan KKM ditamatkan pada jam 6.29 petang selepas keadaan disahkan terkawal, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.






