SANDAKAN: Sebanyak 606 lot bazar Ramadan di bawah kendalian Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan ditawarkan tahun ini menerusi kaedah cabutan undi yang lebih adil dan telus, menggantikan sistem bidaan atau tender sebelum ini.
Presiden MPS, Walter Kenson, berkata lima lokasi bazar yang disediakan ialah di Jalan Coastal, Pusat Bandar Sandakan (154 lot), Sejati Walk Batu 7 (100 lot), Bandar Sibuga Jaya Batu 8 (116 lot), Tamu Gum-Gum Batu 16 (69 lot) dan Agrobazaar Batu 32 (21 lot).
Selain itu, empat bazar kendalian pihak swasta turut diluluskan iaitu di Bataras Hypermarket Bandar Utama IJM (100 lot), Kompleks Sukan Sandakan (30 lot), Masjid Nurrusyakirin Indah Jaya (20 lot) dan Bandar Nam Tung (16 lot).
Menurutnya, pelaksanaan cabutan lot tahun ini bukan sahaja memastikan peluang yang lebih saksama kepada peniaga, malah caj permit yang lebih rendah dijangka membantu menstabilkan harga makanan dan minuman.
“MPS juga memperuntukkan 30 peratus kuota lot kepada golongan belia bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam perniagaan kecil-kecilan sepanjang Ramadan,” katanya memetik Harian Ekspress.
Beliau turut memaklumkan dua lokasi baharu diperkenalkan di kawasan luar bandar iaitu Tamu Gum-Gum dan Agrobazaar Batu 32 bagi merancakkan ekonomi setempat serta memudahkan urusan logistik.






