KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyekat sebanyak 223 fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sejak 2023 hingga 14 Mei lalu susulan pelbagai kes penyalahgunaan subsidi bahan api dikesan di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tegas itu diambil selepas pihaknya mengesan pelbagai modus operandi baharu termasuk penggunaan fleet card oleh kenderaan tidak berdaftar, pembelian diesel subsidi untuk disimpan sebelum dijual semula kepada industri serta cubaan penyeludupan ke luar negara.
“Daripada tahun 2023 hinggalah 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah SKPS dan SKDS telahpun kita ambil tindakan melalui sekatan penggunaan fleet card tersebut.
“Kita percaya masih ada pihak di luar sana yang menggunakan modus operandi ini selain daripada meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan bersama agensi lain,” katanya dalam sidang media sempena Program Inspirasi KBBM Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre hari ini.
Menurut Armizan, antara kesalahan utama yang dikesan ialah fleet card digunakan oleh kenderaan lain selain kenderaan yang didaftarkan, selain pembelian bahan api subsidi secara kecil-kecilan sebelum dikumpulkan di premis tertentu untuk tujuan penjualan atau penyeludupan.
Beliau berkata, terdapat juga kes di Sabah termasuk di Semporna yang membabitkan cubaan membawa diesel subsidi menggunakan bot ke luar negara.
Sehubungan itu katanya, KPDN kini sedang memperkukuh kerangka perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan peraturan khusus berkaitan kawal selia dan penguatkuasaan penggunaan fleet card SKDS dan SKPS.
“Kita mahu ada kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh, termasuk memperincikan tanggungjawab pemegang fleet card, syarikat minyak serta bentuk kesalahan dan hukuman terhadap mereka yang menyalahgunakan subsidi kerajaan.
“Kita tidak mahu hanya sekadar sekatan penggunaan fleet card, tetapi tindakan lebih tegas termasuk hukuman yang boleh menjadi deterrent kepada pihak yang cuba menyeleweng dana awam rakyat,” katanya.
Tambah beliau, draf peraturan khas itu telah disediakan KPDN dan kini sedang melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk diwartakan.
Dalam perkembangan sama, Armizan turut menggesa syarikat serta sektor pengangkutan darat barangan di Sabah supaya segera mendaftar SKDS selepas permohonan dibuka kepada 23 kategori kenderaan layak bermula 4 Mei lalu.
Katanya, permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN dan pihak kementerian bersedia membantu syarikat yang memerlukan panduan di pejabat KPDN negeri dan cawangan berhampiran.






