TAMPARULI: Sebahagian besar penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli menzahirkan kepuasan terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menurut tinjauan Sabah News yang dijalankan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 akan datang.
Tinjauan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat — termasuk pesara, peniaga, suri rumah, mahasiswa dan pengundi muda — mendapati rata-rata responden menilai pentadbiran GRS sebagai stabil, mesra rakyat dan menunjukkan perubahan positif, khususnya dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi tempatan.

“Saya sebagai pengundi Cina menyokong kerajaan sekarang ini. Walaupun masih baru, pentadbiran OK berbanding dulu. Banyak pembaharuan dan kemajuan di Tamparuli,” kata Ng Hsu Hin, seorang pesara tempatan.

“Saya belum pernah mengundi, PRU17 ini kali pertama. Dari segi pentadbiran ok jugalah, not bad. Elok kekalkan kerajaan sekarang,” kata Noranisa Jamirin, pembantu kedai berusia 25 tahun.

Pendapat sama turut dikongsi oleh peniaga tempatan Mohd Man, yang menyatakan bahawa pembangunan jalan raya dan kemudahan asas “semakin baik dan nampak kemajuan”.

Sementara itu, Abigail Jane, seorang mahasiswa dari Ranau, berkata beliau sering melalui pekan Tamparuli ketika berulang-alik ke Kota Kinabalu dan dapat melihat perubahan ketara di kawasan tersebut.
“Kadang-kadang lalu jalan di Tamparuli, nampak banyak kedai baru. Pekan nampak lebih tersusun dan hidup,” katanya.

Debby Hsu Lee Siang, seorang suri rumah pula berkata suasana Tamparuli kini lebih hidup berbanding dahulu, dengan kehadiran pelancong dan pertumbuhan ekonomi tempatan yang semakin rancak.
“Kehidupan di sini damai. Dulu tak nampak maju sangat, tapi sekarang banyak bangunan baru dan pelancong ramai datang lihat jambatan Tamparuli,” katanya.

Bagi Irsa Alfina Jukim Abdullah, peniaga pasar tempatan, perubahan landskap bandar dan peningkatan pelancong membawa limpahan rezeki kepada penduduk.
“Alhamdulillah, ada perubahan. Pasar pun dah berubah, lebih cantik. Perniagaan pun semakin okay, ramai dari Kiulu dan Kundasang singgah ke sini,” ujarnya.
Sokongan Rakyat & Pendekatan Politik
Mengulas mengenai sentimen rakyat itu, Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N14 Tamparuli, Madin Anak, berkata dapatan tersebut menggambarkan realiti semasa di akar umbi — bahawa PBS dan GRS masih diterima baik oleh masyarakat setempat.
Menurutnya, kekuatan GRS di Tamparuli bukan sahaja berpunca daripada rekod pembangunan yang kukuh, tetapi juga hasil pendekatan kepimpinan tempatan yang aktif turun padang membantu rakyat.

“Kita sentiasa dekat dengan rakyat. Pemimpin di peringkat bahagian turun padang, menyelesaikan masalah, membantu keperluan kampung dan masyarakat. Sebab itu rakyat masih yakin dengan PBS dan GRS.
“Anak muda sekarang tidak suka politik yang terlalu serius. Kita gunakan pendekatan santai, sukan dan aktiviti sosial. Mereka lebih menghargai kerja nyata daripada kata-kata,” jelasnya.
Yakin GRS di Tamparuli dapat mandat PRU17 Sabah
Mengulas lanjut, Madin menyatakan keyakinannya bahawa PBS dan GRS akan terus mendapat mandat rakyat Tamparuli dalam pilihan raya akan datang.
Beliau menegaskan, kelebihan utama gabungan itu ialah rekod pembangunan yang jelas, hubungan erat dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, serta penolakan rakyat terhadap politik perpecahan dan lompat parti.
“Rakyat sudah matang. Mereka menilai berdasarkan kerja dan bukti. GRS telah bawa banyak pembangunan dan membantu rakyat dalam pelbagai bentuk. Sebab itu sokongan masih kuat,” katanya.
Tamparuli Kekal Kubu Kuat GRS

DUN Tamparuli kini diwakili oleh Datuk Jahid Jahim daripada PBS, komponen utama GRS. Pada pilihan raya negeri lalu, beliau mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 3,517 undi, menewaskan calon Parti Warisan dan beberapa parti lain.
Kawasan ini sebelum ini dikenali sebagai antara kubu tradisi PBS, dengan jaringan akar umbi yang meliputi hampir semua 97 kampung di Tamparuli.
GRS dijangka mengekalkan penguasaan di Tamparuli meskipun berdepan saingan parti tempatan dan calon bebas menjelang pilihan raya akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






