PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan mempunyai mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat meskipun tidak lagi meraih sokongan UMNO.
Beliau dalam satu perutusan khas tengah hari tadi menjelaskan bahawa satu usul undi percaya berkenaan jawatan beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika ia bersidang pada bulan September ini.

Melalui cara ini, katanya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.
Dalam siaran tengah hari itu, Muhyiddin juga berkata semalam beliau telah menerima warkah daripada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Warkah itu memaklumkan terdapat LAPAN (8) orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada Muhyiddin.
“Dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“PERTAMA, Perkara 43 (2) (a) iaitu: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;
“Dan KEDUA, Perkara 43 iaitu: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin dititah menghadap oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi hari ini.
“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah Surat Akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini…
“Peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit, namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.
“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen,” kata beliau.
Muhyiddin turut menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para ‘frontliners’ (pekerja barisan hadapan), agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba “menangguk di air yang keruh”.
Beliau teguh dengan pendirian tegasnya untuk tidak melayan beberapa tuntutan dalam menghadapi perasaan kurang senang oleh pihak terbabit.
“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah…
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” beliau berkata.
Sementara itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
Muhyiddin memberikan jaminan bagi program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan…
“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah S.W.T dan kepada-Nya jua lah kita berserah,” katanya.





