Puluhan Mayat Dibiarkan Mereput Di Atas Bumbung Hospital Di Pakistan

Puluhan Mayat Dibiarkan Mereput Di Atas Bumbung Hospital Di Pakistan

0
SHARE

PAKISTAN – Berpuluh-puluh mayat telah ditemui yang dibiarkan mereput di atas bumbung sebuah hospital di bandar Multan, Pakistan.

Menurut laporan Wion News, susulan pembongkaran itu, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.

Beberapa laporan tidak rasmi mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 200 mayat yang dibuang di atas bumbung jabatan anatomi Hospital Nishtar menjadi sisa makanan helang dan burung gagak.

Imej dan video mengerikan itu telah tersebar dengan meluas di pelbagai platform media sosial tempatan…

Ketua Menteri negeri Punjab, Parvez Elahi telah membentuk satu jawatankuasa untuk menyiasat perkara itu.

Enam anggota jawatankuasa itu yang diketuai oleh setiausaha penjagaan kesihatan pakar, Muzamil Bashir diberikan tempoh tiga hari untuk menyelesaikan siasatan.

Stesen televisyen Geo News melaporkan bahawa seorang pegawai tinggi hospital itu menuduh polis dan pekerja penyelamat sebagai punca kepada timbunan mayat berkenaan.

Ketua jabatan anatomi Universiti Perubatan Nishtar (NMU), Dr. Mariam Ashraf berkata, kemudahan perubatan tidak boleh menolak untuk menerima mayat-mayat yang tiba di sana kerana terikat untuk mengambilnya sebagai simpanan.

“Polis dan pegawai penyelamat membawa mayat dan meminta kami menyimpannya tetapi mereka tidak menuntut seperti sepatutnya.

“Kami telah menulis surat kepada mereka beberapa kali dan meminta mereka mengambil mayat namun tiada tindakan susulan.

“Itulah punca kesemua mayat yang reput disimpan di atas bumbung di mana terdapat tiga simpanan khas,” jelasnya.