
BEAUFORT – Koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad (KJMBB) berjaya mencatat kejayaan dengan memiliki sebuah bangunan kedai tiga tingkat bernilai RM6.5 juta.
Pengerusi KJMBB, Datuk Ruslan Muharam berkata, itu antara pencapaian yang dicatat KJMBB bagi tahun 2021-2022.
“KJMBB kini telah memiliki bangunan tiga tingkat yang mempunyai sebanyak lapan pintu kedai dengan harga RM6.5 juta.
“KJMBB juga turut berjaya membuka sebuah lagi cawangan Coopmart Koperasi Jaya Murni di Kampung Kebatu dengan modal sebanyak RM265,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-11 sesi 2020-2021 KJMBB di Bilik Mesyuarat Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Bandar Minggo disini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi KJMBB, Asmat Japar, Pembantu Ehwal Ekonomi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Beaufort, Dk Suzana Juhainin dan Pembantu Juruaudit SKM Wilayah Beaufort, Puteri Nurmaisarah Mufti.

Mengulas lanjut, Ruslan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, ahli koperasi telah mengemukakan usul atau cadangan bagi meningkatkan lagi prestasi koperasi ini.
“Dalam mesyuarat ini juga kita telah meluluskan usul menambah modal syer sebanyak RM100,000 setiap anggota.
“Selesai mesyuarat ini juga agihan dividen telah dilakukan kepada ahli-ahli koperasi iaitu pembayaran dividen sebanyak lima peratus diberikan di mana terdapat menurun sebanyak 15 peratus berbanding 20 peratus pada tahun lalu.
“Ini adalah disebabkan koperasi telah membuka cawangan baharu seperti yang dimaklumkan serta deposit pembelian bangunan serta pengurusan guaman bagi pemilikan kedai berkenaan,” katanya.





