PKR Berada Di Selekoh Terakhir Lengkapkan Agenda Reformasi – Amirudin

PKR Berada Di Selekoh Terakhir Lengkapkan Agenda Reformasi – Amirudin

0
SHARE

​AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada pada fasa terakhir untuk melengkapkan proses perubahan serta agenda reformasi negara yang telah diperjuangkan sejak hampir tiga dekad lalu.

​Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sepanjang perjalanan itu, PKR telah membuktikan keupayaannya sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang paling berjaya dalam sejarah politik tanah air.

Menurut beliau, kejayaan tersebut dicapai hasil ketegangan dan keyakinan parti dalam menongkah arus serta membawakan prinsip keadilan sosial, demokrasi, dan tata kelola berintegriti sebagai arus perdana.

“Kita berada dalam kelok dan landasan terakhir untuk melengkapkan proses perubahan ini.

“Hampir 30 tahun lalu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan perjuangan reformasi, kita tidak sangka pelbagai perubahan besar dapat direalisasikan hari ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini, pada Ahad.

Mengulas mengenai senario politik semasa, Amirudin turut membentangkan data sokongan pengundi berdasarkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor serta Negeri Sembilan.

Ujar beliau, data berkenaan memberikan kesedaran jelas mengenai trend sokongan merentasi kaum yang perlu ditangani secara strategik oleh jentera parti.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pendekatan komunikasi parti yang perlu disesuaikan dengan minda generasi muda bagi memastikan mesej perjuangan dapat diterima dengan berkesan.

“Pendekatan dan bahasa kita kena berubah. Kita kena faham istilah serta selera anak muda hari ini supaya mereka benar-benar memahami visi dan kejelasan yang dibawakan oleh parti,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan jentera, Amirudin mengumumkan Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR akan mula turun ke lapangan di negeri-negeri seperti Kedah dan Perlis dalam tempoh dua minggu lagi bagi memperkukuh jentera parti.