KOTA KINABALU, SABAH – Peniaga restoran termasuk gerai makanan bermasak di Sabah menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor serta pimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana bertegas mempertahankan untuk membuka lebih awal beberapa sektor ekonomi di Sabah.
SOP terkini yang dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) bertarikh 22 Julai 2021 untuk membenarkan restoran dan peniaga makanan bermasak beroperasi bermula seawal jam 6.00 pagi sehingga 10.00 malam juga adalah satu ‘signal’ yang mana akhirnya Kementerian di Peringkat Persekutuan akur kepada ketegasan Kerajaan GRS negeri Sabah.

Ketegasan Datuk Seri Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah sebelum ini untuk membuka lebih awal beberapa sektor ekonomi di Sabah walaupun mendapat tentangan hebat daripada beberapa Kementerian di peringkat Persekutuan juga adalah petunjuk Kerajaan GRS kini lebih berani menggunakan kuasa Autonomi mereka berbanding Parti Warisan sebelum ini.

Ketegasan yang dilihat konsisten itu juga menyebabkan pembangkang khususnya pimpinan Parti Warisan, DAP termasuk UPKO dan PKR berada dalam ‘mood’ kepanasan serta wujudnya gerakan menabur fitnah sehingga menyebabkan ramai peniaga yang terpaksa menanggung kerugian akibat fitnah tersebut.
Sokongan daripada rakyat Sabah kepada Datuk Seri Hajiji dan Kerajaan GRS juga telah melonjak naik, malahan tanda-tanda pemulihan ekonomi di negeri Sabah juga telah mula kelihatan walaupun agak perlahan.


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (pada 28 Jun 2021) yang lalu mengumumkan untuk membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini (29 Jun).
Menurut kenyataan itu, ia termasuk kebenaran makan di restoran (dine-in), kedai makan dan restoran hotel, selain pembukaan kedai menjual sayur, ikan dan buah di tepi jalan serta kedai gunting rambut.

Selain itu, turut dibenarkan adalah aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.
Kenyataan itu juga membenarkan semua aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot.