KOTA KINABALU, SABAH – Ceramah Perdana yang diadakan sempena Sambutan Hari Sabah 2024 dapat menambah ilmu mengenai sejarah dan kepentingan Hari Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, ceramah yang disampaikan dapat menambah ilmu serta keyakinan kepada rakyat untuk meraikan Hari Sabah dengan lebih bersemangat.
“Pada hari ini telah diberikan tiga topik ceramah mengenai sejarah Hari Sabah dan sejarah yang berkaitan dengan penubuhan Malaysia.
“Saya harap ceramah yang diberi akan menambah ilmu kepada para hadirin dan juga mengenali dengan lebih dekat lagi, lebih mendalam lagi apa maksudnya Hari Sabah.
“Dengan pegetahuan itu, mereka bolehlah dengan lebih bersemangat dan keyakinan meraikan Hari Sabah dengan lebih meriah lagi dan memperjuangkan hak Sabah dan kemerdekaan kita.
“Marilah kita sama-sama meraikan Hari Sabah, mengenangkan hari bersejarah ini yang telah tercicir dan ada kalanya telah diketepikan supaya tidak lagi berlaku perkara seperti ini di masa akan datang.
“Kita perlu memperbetulkan sejarah, melengkapkan sejarah dan memastikan sejarah ini dimasukkan dalam pembelajaran kita supaya kita boleh mengenali negeri kita dan sejarah kita kerana dari sejarahlah kita belajar untuk mengurus masa depan kita,” katanya ketika ditemui media selepas ceramah berkenaan di Menara Kinabalu di sini, pada Khamis.
Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024 berharap selepas menghadiri sambutan Hari Sabah 2024 pada Sabtu ini, rakyat Sabah khususnya mendapat ilmu pengetahuan baharu mengenai sejarah Hari Sabah.
“Saya berharap mereka akan pulang dengan rasa lebih yakin terhadap masa depan mereka kerana kita sebagai negara dan rakyat sebenarnya kita ada semua yang kita perlukan, kuasa politik dan potensi ekonomi yang boleh kita bangunkan.
“Kita ada sejarah dengan kita, jangan kita kenang masa lalu tapi kita guna sejarah yang ada sebagai panduan untuk maju di masa depan,” tambahnya.
Kira-kira 868 penjawat awam negeri dan persekutuan hadir ke ceramah berkenaan.
Antara topik yang disampaikan adalah ‘Sejarah Yang Tercicir – An Overview’ oleh Jeffrey, ‘Sabah Day: A Historical Perspective’ oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Danny Wong dan ‘Hari Sabah- Manifestasi Hak Berkerajaan Sendiri’ oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Bilcher Bala. — JABATAN PENERANGAN SABAH