KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Negeri Sabah akan mengadakan Majlis Penyampaian Malaysia Role Model Enterprise Award 2024, pada Oktober ini.
Pengerusinya, Patrick Chiam Yee Choon berkata lima anugerah khas akan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dalam majlis tersebut.
“Pada tahun ini, PUMM buat julung kalinya mengadakan majlis penyampaian anugerah di luar Kuala Lumpur di mana Negeri Sabah terpilih bagi meraikan kejayaan 40 pengusaha yang berjaya dalam bidang masing-masing di seluruh Malaysia.
“Selain daripada itu, kita juga akan menyampaikan lima anugerah khas iaitu Rural Role Model Enterprise Award khusus untuk pengusaha di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Patrick kunjungannya bersama rombongan bertujuan untuk menyampaikan undangan kepada Tun Juhar sebagai tetamu kehormat majlis berkenaan.
PUMM telah ditubuhkan sejak 1993 dan kini mempunyai lebih 3000 keanggotaan yang terdiri dari pemilik perniagaan, peguam dan juga para akauntan yang terlibat di dalam industri perniagaan.
Hadir sama Timbalan Pengerusi PUMM Sabah Kendy Yeong Kok Wah, Naib Pengerusi PUMM Sabah Dolly Chin Man Yee serta ahli-ahli jawatankuasa PUMM negeri Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH