KUALA LUMPUR: Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan bahawa petang Khamis, 19 Mac 2026 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah telah ditetapkan sebagai tarikh untuk melihat anak bulan Syawal di 29 lokasi seluruh negara.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tarikh Hari Raya Puasa juga akan diisytiharkan pada malam tersebut melalui siaran radio dan televisyen, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja turut mempersetujui bahawa kaedah penetapan tarikh Hari Raya Puasa dilakukan berdasarkan Rukyah dan Hisab, bagi memastikan ketepatan penentuan awal bulan Islam.
Lokasi Penentuan Anak Bulan Syawal:
Johor & Melaka: Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka
Negeri Sembilan & Selangor: Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam
Perak & Pulau Pinang: Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh
Kedah: Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak; Menara Alor Setar
Terengganu: Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu
Kelantan: Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu
Sarawak: Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Bintulu
Sabah & Labuan: Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
Pahang: Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Menara 188, Kuantan
Perlis & Kuala Lumpur: Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyeru seluruh umat Islam untuk mengikuti pengumuman rasmi dan memastikan pengamatan anak bulan dilakukan di lokasi yang telah ditetapkan.






