Pendaki Wanita Alami ‘Hipotermia’ di Gunung Kinabalu, Meninggal Dunia

Pendaki Wanita Alami ‘Hipotermia’ di Gunung Kinabalu, Meninggal Dunia

0
SHARE

RANAU: Pasukan MoSAR Gunung Kinabalu di BBP Ranau menerima panggilan kecemasan pada jam 11.24 pagi berhubung kejadian seorang pendaki yang mengalami ‘hipotermia’ di KM 7.1, CP Sayat-Sayat (Conrad Labi), Gunung Kinabalu pada Khamis.

Mengikut laporan Komander Operasi, PBK II KUP Neil, ketika kejadian, mangsa merupakan wanita warganegara Malaysia berusia 54 tahun itu berada dalam keadaan kesejukan dan lemah. 

Katanya, pasukan SAR Taman Sabah dan malim yang bertugas telah bertindak menghubungi dan memohon bantuan tambahan kakitangan Taman Sabah dan MoSAR bertugas untuk tindakan selanjutnya.

“Bertindak atas maklumat, 6 anggota MoSAR telah digerakkan ke lokasi kejadian. Bantuan lanjut telah diberikan kepada mangsa di sick bay Panalaban.

“Ketika itu, mangsa masih tidak menunjukkan respon positif selepas diberikan bantuan oksigen dan CPR dengan menggunakan bantuan AED. 

“Berikutan mangsa masih tidak sedarkan diri, mangsa telah diusung untuk di bawa turun ke Pintu Timpohon dengan menggunakan Neil Robertson strecher oleh pasukan MoSAR serta di bantu oleh SAR HAT dan Malim,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebaik tiba di Pintu Timpohon, pegawai perubatan KKM telah melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya. Setelah selesai, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam.