Syarikat Penerbangan Perlu Kembalikan Bayaran Jika ‘Flight’ Lewat Lima Jam ke Atas

Syarikat Penerbangan Perlu Kembalikan Bayaran Jika ‘Flight’ Lewat Lima Jam ke Atas

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pembaharuan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan diwarta dan dikuatkuasakan Isnin ini menetapkan syarikat penerbangan perlu mengembalikan bayaran penuh di atas kelewatan lima jam ke atas kepada pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bayaran balik adalah secara pembayaran asal bergantung kepada jenis transaksi dibuat pengguna ketika pembelian tiket penerbangan itu.

“Ia sama ada secara tunai, kad kredit, baucer perjalanan atau credit shell dengan proses akan dibuat dalam tempoh 30 hari,” jelasnya.

Menurut Loke lagi, syarikat penerbangan juga dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik kepada pelanggan dalam mod bayaran asal sekiranya mengalami gangguan penerbangan disebabkan oleh keadaan luar biasa.

Tegasnya, bagi melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan, semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam dan luar talian.

Katanya, antara pembaharuan lain adalah pengguna boleh memilih sama ada menerima bayaran balik atau menikmati kemudahan penginapan hotel serta pengangkutan jika penerbangan mereka ditunda selama lima jam atau lebih.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Peruntukan itu akan berkuatkuasa pada Januari 2025,” ujarnya.