Pacquiao Akui Pernah Ambil Dadah Kerana Naif Dan Jahil

Pacquiao Akui Pernah Ambil Dadah Kerana Naif Dan Jahil

0
SHARE
Manny Pacquiao...

MANILA, FILIPINA – Bekas peninju lagenda profesional, Manny Pacquiao mengakui beliau naif dan jahil mengenai undang-undang ketika mengambil dadah pada usia mudanya.

Namun, Pacquiao yang juga calon harapan Presiden Filipina menjelaskan bahawa situasinya berbeza kini di mana pesalah hari ini mengetahui mengenai kesalahan penyalahgunaan dadah dan mereka harus dihukum atas jenayah itu.

“Kita perlu menghukum mereka yang menggunakan dan menjual dadah, itulah yang dikatakan undang-undang…

“Sebelum ini, saya naif, sebab itu saya menggunakan dadah… saya tidak tahu undang-undang,” katanya kepada AFP, berikrar untuk meneruskan kempen antinarkotik melalui kaedah yang betul.

Pacquiao, 42, yang sudah bersara sebagai peninju juara dunia kini berkhidmat sebagai Ahli Senat dan pernah berkhidmat dua penggal di Kongres.

Manny Pacquiao mengakhiri karier tinjunya pada usia 42 tahun…(Sumber Foto: Getty Images – The New York Times)

Pacquiao menjadi penyokong berprofil tinggi terhadap kempen tegas Presiden Rodrigo Duterte terhadap dadah yang mengorbankan nyawa ribuan orang.

Namun, menjelang pilihan raya 2022, Pacquiao dilihat mula menjarakkan diri daripada Duterte selepas pemimpin itu berdepan siasatan antarabangsa terhadap tindakan kerasnya kerana tidak memberi peluang kepada pesalah mempertahankan diri.

Sebelum ini, Pacquiao mengejutkan dunia sukan pada 2016 apabila mengaku menggunakan ganja dan syabu semasa remaja.

Membesar sebagai kanak-kanak jalanan sebelum menjadi peninju terhebat sepanjang zaman, Pacquiao menjadikan tema utama memerangi dadah, rasuah dan kemiskinan dalam kempennya untuk menggantikan Duterte.

Rodrigo Duterte…

Namun, Pacquiao berdepan persaingan hebat apabila berlaku penyebaran maklumat hasil tinjauan yang dijalankan pada Oktober lalu oleh badan pengundian Stesen Cuaca Sosial menunjukkan beliau hanya berada di tempat keempat dengan hanya sembilan peratus sokongan pengundi.

Anak lelaki bekas diktator negara, Ferdinand Marcos Jr adalah pilihan utama untuk jawatan presiden dengan 47 peratus (47%).

“Saya tidak terfikir untuk berundur… rakyat akan memilih… saya tahu rakyat mahukan perubahan dalam negara ini, menghentikan rasuah ini, memiliki negara yang makmur dan mereka mahu pekerjaan,” kata Pacquiao.