BEAUFORT, 17 September – Mangsa banjir di Beaufort dan Papar menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri yang pantas menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini mengarahkan agensi berkaitan untuk turun padang memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat yang terjejas banjir sentiasa terbela.
Seorang penerima bantuan di Beaufort, Mokhtar Sulaiman, 58, berkata beliau sekeluarga terharu apabila menerima bantuan tunai dan ini dapat meringankan beban bagi membeli barangan keperluan asas harian, selepas rumah mereka dinaiki air.
“Kami sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji dan kerajaan negeri kerana tidak membiarkan kami sendirian menghadapi kesukaran ini,” katanya selepas menerima bantuan yang disampaikan Hajiji dalam kunjungan menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Kekal PPK Selagon, hari ini.
Di Papar, seorang lagi mangsa, Rosnah Ahmad, 43, berkata bantuan tunai yang diberikan amat membantu untuk memulihkan semula kehidupan mereka selepas bencana.
“Walaupun kerosakan rumah masih perlu dibaiki, bantuan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan. Kami menghargai tindakan pantas kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” ujarnya.
Sementara itu, Normah Marali, 42, turut berkongsi rasa lega kerana bantuan logistik dan pusat pemindahan sementara disediakan dengan baik.
“Anak-anak kami selamat, ada tempat berteduh dan makanan mencukupi. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjaga kebajikan kami di saat sukar ini. Rumah kita, kita jaga,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata semua pihak tanpa mengira latar belakang digesa mengetepikan sebarang agenda politik dan memberi fokus sepenuhnya membantu rakyat yang terjejas akibat bencana tanah runtuh serta banjir di Sabah.
Beliau berkata soal politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar dibangkitkan ketika ini kerana kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Tidak mahu fikir soal bubar, itu belum kami bincangkan. Fokus utama sekarang ialah memberi bantuan kepada mereka yang terkesan. Inilah masanya kita buktikan perbezaan politik bukanlah penghalang untuk kita bersama-sama membantu rakyat.
“Dalam menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng. Jangan fikirkan dahulu hal politik, yang penting bantu rakyat kita,” katanya.






