PAPAR, 17 September: Semua pihak tanpa mengira latar belakang digesa mengetepikan sebarang agenda politik dan memberi fokus sepenuhnya membantu rakyat yang terjejas akibat bencana tanah runtuh serta banjir di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, soal politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar dibangkitkan ketika ini kerana kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Tidak mahu fikir soal bubar, itu belum kami bincangkan. Fokus utama sekarang ialah memberi bantuan kepada mereka yang terkesan. Inilah masanya kita buktikan perbezaan politik bukanlah penghalang untuk kita bersama-sama membantu rakyat.
“Dalam menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng. Jangan fikirkan dahulu hal politik, yang penting bantu rakyat kita,” katanya selepas melawat Kampung Mook, Papar, Sabah hari ini.
Dalam lawatan itu, Hajiji menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh yang mengorbankan Emily Johnny, 38 dan anaknya, Xarell Myre Aristothle, 11 pada 15 September lalu.
Jelasnya, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara serta BWI RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban.
“Ada juga bantuan daripada Yayasan Sabah. Untuk tiga rumah yang musnah, setiap rumah menerima bantuan RM30,000 bagi meringankan beban mereka.
“Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan komited memulihkan kehidupan rakyat serta infrastruktur yang terjejas akibat bencana besar tersebut,” katanya.
Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,987 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat 8 pagi ini, berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.
Sebanyak 13 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas di sini.






