AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan kekal komited menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional bagi memastikan pembangunan seimbang serta keadilan ekonomi dapat dinikmati rakyat di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pentadbiran beliau tidak pernah menganggap tuntutan dua negeri di Borneo berkenaan sebagai isu sampingan, sebaliknya pendekatan itu diambil atas kesedaran untuk membuat keputusan yang adil demi kemajuan negara secara menyeluruh.
“Ia adalah agenda nasional. Saya percaya untuk negara berjaya, Semenanjung mesti bekerjasama dengan Sabah dan Sarawak untuk maju bersama,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Presiden PKR itu menjelaskan bahawa pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dinilai dari sudut keuntungan politik atau jumlah undi semata-mata, melainkan berasaskan prinsip keadilan sosial dan kebersamaan.
“Ini pilihan kita untuk buat benda betul. Kita perlu bersikap adil dan pembangunan mesti memanfaatkan setiap orang dalam negara ini,” kata beliau sambil mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam merealisasikan tuntutan berkenaan.
Mengulas mengenai pencapaian MA63, Anwar merujuk kepada beberapa kejayaan utama penyerahan kuasa, antaranya penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Manakala dalam isu pengurusan sumber minyak dan gas di Sarawak, beliau memberitahu sentiasa mengadakan perbincangan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan kerjasama strategik antara PETRONAS dan syarikat minyak milik Sarawak, PETROS.
“Dasar kita mesti mencerminkan kesediaan kerajaan persekutuan dan PETRONAS untuk memastikan kerjasama kukuh dan selesa antara PETRONAS dan PETROS untuk maju ke depan,” jelas beliau.
Sehingga kini, sebanyak 13 perkara berkaitan MA63 telah berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan, manakala lima perkara diselesaikan secara sementara, dua mencapai keputusan dasar, dan beberapa isu lain masih dalam peringkat perbincangan serta pertimbangan tertinggi Putrajaya.






