AYER KEROH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mula retak susulan perkembangan lanskap politik semasa.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, hubungan kerja serta peribadi antara mereka berdua berada dalam keadaan baik, manakala kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berhubung isu berkenaan hanya pandangan peribadi semata-mata.
“Pandangan peribadilah. Memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai. Dia berbeza. Dia jalur gaduh, saya jalur damai.
“Sebab tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Datuk Seri (Ahmad) Zahid, UMNO dan seluruh Barisan Nasional dalam memeterai Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal,” katanya kepada media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap baru-baru ini yang mendakwa tahap kepercayan antara Perdana Menteri dan Timbalannya berada pada paras paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada 2022.
Khairy mendakwa situasi berkenaan timbul berikutan kehangatan persaingan politik tempatan, terutamanya melibatkan pertembungan BN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di peringkat negeri.
Mengulas perkara itu, Anwar mengakui terdapat sedikit dinamik perbezaan di peringkat negeri namun menegaskan ia tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Ada gaduh? (di peringkat pusat), peringkat negeri ada sikit. Itu biasa pak,” katanya merujuk kepada pertembungan taktik politik di peringkat negeri.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar turut menafikan menerima sebarang surat desakan daripada enam cabang PKR di Negeri Sembilan yang meminta Pengerusi PH dan PKR Negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berundur daripada jawatannya.






