Sabah Rekodkan 76 Kes Batuk Kokol

Sabah Rekodkan 76 Kes Batuk Kokol

0
SHARE
Zaliha
Dr Zaliha dalam sidang media selepas sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Zon Negeri Sabah bertempat di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

KOTA KINABALU, SABAH – Negeri Sabah telah mencatatkan sebanyak 76 kes batuk kokol atau ‘pertussis’ sejak bulan Januari sehingga 27 April yang lalu

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti jumlah kes batuk kokol menunjukkan peningkatan kes sebanyak 986 peratus berbanding Minggu Epid yang sama (ME 16) pada tahun lepas.

Katanya, kes batuk kokol di Sabah telah dikenal pasti melibatkan 11 daerah iaitu Kota Kinabalu (20 kes); Lahad Datu (16); Tawau (15); Semporna (4); Papar (4); Putatan (8); Kunak dan Tambunan mencatatkan tiga kes.

Manakala bagi daerah Kinabatangan, Tuaran dan Sandakan masing-masing mencatatkan sebanyak satu kes.

Menurutnya, antara warganegara yang terlibat dalam kes batuk kokol itu membabitkan warganegara Malaysia sebanyak 41 kes, Filipina (27); dan Indonesia (8) kes.

“Jumlah kes ini boleh dikatakan agak banyak namun bila (laporan) sampai kepada pihak kita, kita sudah pasti akan melakukan pemantauan seterusnya.

“Setakat ini kita juga menerima laporan tentang kes itu di negeri tetapi saya akan meneliti dan cuba mendapatkan laporan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Zon Negeri Sabah bertempat di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan negeri, Datuk James Ratib, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Dr Zaliha turut menggesa agar ibubapa khususnya di Sabah untuk membawa anak-anak yang mempunyai gejala batuk ke hospital atau klinik berdekatan bagi membolehkan pemantauan dan rawatan diberikan.