NABAWAN, SABAH – Pembinaan bangunan baharu bilik darjah dan pembinaan kuarters guru bagi menggantikan bangunan kuarters lama yang daif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan akan bermula pada penghujung tahun ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Tingkatan Enam SMK Nabawan Sesi 2021/2022.
Mengulas lanjut, Arthur berkata kerajaan memperuntuk sejumlah RM26.45 juta bagi kedua-dua projek ini dan pada tahun ini sebanyak RM4 juta daripada jumlah tersebut telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan.
Skop projek termasuklah pembinaan bangunan baharu 12 bilik darjah serta lain-lain kemudahan dan juga pembinaan gantian satu blok kuarters guru (lapan unit) bertingkat di sekolah tersebut.
“Pembinaan 12 bilik darjah ini akan memberi lebih keselesaan kepada para pelajar dan guru tingkatan enam SMK Nabawan.
“Sebelum ini mereka terpaksa menumpang di bangunan sementara SK Pekan Nabawan kerana kekurangan bilik darjah,” katanya.
Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pelajar di kawasan pedalaman tidak ketinggalan daripada mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum.
Arthur yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran seterusnya membolehkan para pelajar memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran.





