Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Disahkan Positif COVID-19

Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Disahkan Positif COVID-19

0
SHARE
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri...

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengesahkan beliau positif COVID-19 dan kini menjalani rawatan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kesihatannya berada dalam keadaan baik ketika ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Beliau juga turut menyeru kepada orang ramai agar membuat ujian saringan bagi yang terlibat dengan sebarang majlis melibatkan dirinya dari 24 September hingga 4 Oktober

“Kepada Allah saya berserah, kepada-Nya jua saya memohon pertolongan…

“Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut memaklumkan bahawa beliau akan terus menunaikan janji untuk memberi bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang mana akan diteruskan oleh agensi-agensi agama di bawah seliaan beliau.

“Program-program Musa’adah COVID-19 yang telah diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang getir ini…

“Sejak Mac, bantuan disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa. Pandemik COVID-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah,” tambah beliau.

Dr Zulkifli turut menasihati rakyat Malaysia agar terus patuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada.