CEO Aman Palestin Mengaku Tidak Bersalah Atas 164 Pertuduhan

CEO Aman Palestin Mengaku Tidak Bersalah Atas 164 Pertuduhan

0
SHARE
Abdullah Zaik (depan tengah), Awang Suffian (barisan kedua tengah) dan Khairuddin ( barisan ketiga tengah) ketika dibawa anggota SPRM bagi prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Tiga individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 164 pertuduhan pengubahan wang haram, menipu dan pecah amanah membabtikan dana berjumlah RM39.5 juta.

Bagaimanapun, tertuduh Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58 tahun, Awang Suffian Awang Piut, 52 tahun dan Khairudin Mohd Ali, 49 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu kepada wang dibelanjakan pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Katanya, turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria. 

November lalu, SPRM mengesahkan membeku 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.