KOTA KINABALU, SABAH – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga perlu diberi peluang untuk berdikari dalam mencari rezeki tanpa perlu bergantung dengan bantuan orang lain semata-mata.
Demikian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang menekan pemerkasaan golongan tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan.
“Saya menyeru agar lebih banyak agensi lain turut berganding bahu dan sama-sama memperkasa bukan sahaja golongan OKU tetapi juga setiap lapisan masyarakat…
“Ini sesuatu yang kita patut jadikan inspirasi. Jika mereka boleh, kita pasti boleh. Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia mencapai taraf kehidupan berkualiti,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Memperkasa Usahawan di Kalangan Peserta Program Return To Work (RTW) anjuran PERKESO di Wisma PERKESO Negeri Sabah pagi tadi.
Menurutnya, program RTW merupakan komitmen PERKESO dalam membantu golongan OKU.
“PERKESO terus komited dengan menagmbil langkah yang lebih bersasar untuk membantu kumpulan yang memerlukan dengan memperkemas sistem penyampaian di semua peringkat…
“Program RTW ini diharap dapat memberikan harapan dan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat Malaysia khususnya penduduk Sabah yang berdaftar dan mencarum di bawah PERKESO,” katanya lagi.
RTW merupakan satu program pemulihan fizikal yang disediakan kepada Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kecederan dan penyakit bagi membantu mereka untuk berkerja semula atau berdikari menjana pendapatan.
Semasa program tersebut, seramai 30 orang peserta menerima sumbangan berupa wang tunai daripada PERKESO disamping pendedahan taklimat keusahawanan dan bantuan khas untuk OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).