KAPSUL BUNUH DIRI DI SWITZERLAND DIBENARKAN

KAPSUL BUNUH DIRI DI SWITZERLAND DIBENARKAN

0
SHARE

SWITZERLAND – Kapsul serupa keranda yang membolehkan orang ramai menamatkan nyawa mereka sendiri boleh mula digunakan di Switzerland mulai tahun depan, kata penciptanya.

Pod bunuh diri Sarco membolehkan penggunanya untuk mengaktifkan proses itu sendiri dalam masa beberapa minit.

Individu akan ditanya beberapa siri soalan sebelum mereka boleh menekan butang yang membawa bekalan oksigen ke tahap kritikal.

Gas nitrogen mengisi kapsul dicetak secara 3D itu yang dengan serta-merta menurunkan kadar oksigen daripada 21 peratus (21%) kepada hanya 1 peratus (1%) dalam masa kira-kira 30 saat.

Perasaan keliru dan euforia (seronok) kemudian menyusul, sebelum si pengguna akhirnya hilang kesedaran.

Kematian berlaku disebabkan oleh hipoksia (oksigen rendah dalam tisu badan) dan hipokapnia (pengurangan karbon dioksida dalam darah), diikuti oleh kekurangan oksigen dan karbon dioksida yang kritikal.

Dr Philip Nitschke, dari organisasi ‘Exit International’ yang menghasilkan kapsul itu, memberitahu media tempatan Swiss, swissinfo.ch, bahawa pengguna tidak akan merasa panik mahupun perasaan seolah tercekik.

“Mesin itu mudah alih dan boleh dibawa ke mana-mana untuk proses kematian,” katanya.

Dr Philip Nitschke berkata pod mesin itu “sangat selesa”..(Sumber Foto” Exit International)

“Kematian tersebut boleh berada dalam suasana luar yang indah atau pada premis organisasi bunuh diri yang dibantu, sebagai contoh…

“Individu itu akan masuk ke dalam kapsul dan berbaring. Ianya proses yang sangat selesa.

“Jika tiada sebarang kesulitan berlaku, kami berharap untuk memberikan khidmat Sarco di Switzerland pada tahun depan,” katanya.

Kira-kira 1,300 orang mengakhiri hidup mereka sendiri dengan menggunakan alat bantuan bunuh diri di Switzerland tahun lepas.

Kerajaan Switzerland masih belum menjelaskan sama ada ia berhasrat untuk membenarkan penggunaan kapsul itu.