TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan dan Ordinan Perkapalan Saudagar dalam dua tangkapan berasingan semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OPS SEJAHTERA dan OPS TIRIS telah berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang sedang menunda pukat di perairan selatan Batu Tinagat pada pukul 5.10 petang.
“Pemeriksaan ke atas bot nelayan terbabit mendapati seorang juragan bersama empat awak-awak lelaki warga Indonesia masing-masing berumur di lingkungan 23 hingga 42 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Namun begitu, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menunda pukat di bawah jarak dua batu nautika daripada daratan berdasarkan kedudukan bot tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kira-kira sejam selepas penahanan itu, bot peronda Maritim Malaysia turut berjaya menahan sebuah bot kargo ldi kedudukan barat daya Pelabuhan Tawau.
“Pemeriksaan ke atas bot yang membawa muatan buah sawit dari Pulau Sebatik menuju ke perairan Tinagat itu mendapati seorang nakhoda bersama dua krew lelaki warga tempatan masing-masing berumur di antara 24 hingga 59 tahun mengoperasikan bot ketika lesen tamat tempoh.
“Kedua-dua bot bersama muatan serta krew seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” katanya.
Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM300 ribu.
Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati pengusaha bot gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.






