
TONGOD, SABAH – Tongod yang disenaraikan sebagai daerah termiskin akan berubah wajah sebaik sahaja pekan baharu komersial didirikan bermula Jun ini.
Projek pembina dua deret kedai bertingkat itu dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengandungi 12 unit dan menelan belanja RM7 juta.
“Sekarang ini kita sedang mulakan fasa pertama bagi membina enam unit kedai dengan kos RM3.5 juta, ” Pengerusinya, Datuk Masiung Banah memberi tahu semasa melawat tapak pembinaan projek itu, semalam.
Katanya, pembinaan projek fasa pertama di atas tapak seluas 1.17 ekar akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan sebelum meneruskan pembinaan fasa kedua.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, berkata, dua unit daripada kedai dua tingkat itu akan dicadangkan untuk hotel penginapan.
Sementara, unit selebihnya digunakan untuk perniagaan komersial termasuk Kentucky Fried Chicken (KFC).
Menurut Masiung, bangunan komersial dua tingkat itu akan dijual dengan nilai antara RM565,000 hingga RM619,000 bagi unit tepi.