KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick menegaskan kepentingan memastikan projek penaiktarafan Pelabuhan Sepanggar disiapkan mengikut jadual baharu bagi menyelesaikan isu kesesakan yang menjejaskan kelancaran logistik dan pelaburan negeri.
Beliau berkata, projek berkenaan kini sedang berjalan namun telah diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak empat kali, justeru pemantauan lebih tegas akan dilaksanakan bagi memastikan manfaat penaiktarafan dapat dinikmati secepat mungkin.
“Saya berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Sebarang kelewatan merupakan kerugian besar kepada Sabah kerana Pelabuhan Sepanggar menjadi nadi utama pengangkutan dan perdagangan negeri,” katanya dalam kunjungan rasminya ke Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), di sini, hari ini.
Ewon, yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, turut menerima taklimat komprehensif berkaitan prestasi, peranan serta hala tuju pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah, termasuk aspek kawal selia jeti-jeti persendirian bagi memastikan hak pungutan hasil negeri terus dipertahankan.
Beliau yakin LPPS dan kementeriannya dapat memperkukuh kerjasama bagi memastikan semua projek peningkatan kapasiti pelabuhan berjalan lancar, khususnya dalam menyokong perkembangan sektor perindustrian.
“Kita akan terus bekerjasama dengan kementerian lain dan Kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan rangkaian antara taman perindustrian dan pelabuhan, demi memastikan sistem logistik Sabah berdaya saing,” katanya.
Setakat Januari hingga Oktober 2025, LPPS mengendalikan 445,054 TEU kontena melalui operasi di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pembantu Menteri Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Datuk Thomas Logijin, serta pegawai-pegawai kementerian dan LPPS.






