JKNS Sahkan Kes Penyakit Berjangkit Melioidosis Di Padang Ragbi, Tanjung Aru

JKNS Sahkan Kes Penyakit Berjangkit Melioidosis Di Padang Ragbi, Tanjung Aru

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu kes penyakit berjangkit melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru yang dinotifikasikan pada 11 Mac lalu.

JKNS dalam satu kenyataan media berkata, sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang tersebut. 

“Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei, iaitu agen penyebab kepada penyakit ini.

“Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Jelas kenyataan itu lagi, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 tahun ini, sebanyak 44 kes melioidosis telah didaftarkan di seluruh negeri Sabah.

“ini merupakan peningkat sebanyak 12.8 peratus bebranding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME yang sama pada tahun lalu, iaitu sebanyak 39 kes.

“Enam daerah tertinggi yang melaporkan kes ini adalah Sandakan (12); Kota Kinabalu (11); Papar (5); Penampang (5); dan masing-masing dua kes di Sipitang serta Keningau,” katanya.

Penyakit melioidosis adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah.

Manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria tersebut. Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan.

Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit.

Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah.