Tiada PRN Awal, Kerajaan Sabah Fokus Selesai Masalah Rakyat

Tiada PRN Awal, Kerajaan Sabah Fokus Selesai Masalah Rakyat

0
SHARE
Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

TUARAN: Tiada jangkaan akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) awal bagi negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun sebaliknya kekal sehingga tamat penggal, iaitu pada hujung September tahun hadapan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia kerana masih banyak tugasan yang perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri khususnya usaha menyelesaikan masalah yang dihadapai oleh rakyat di negeri ini. 

“Walaupun sebagai sebuah kerajaan yang akan membuat keputusan bila kita mengadakan PRN, tetapi tempoh kita sehingga hujung bulan September tahun hadapan.

“Jadi kita masih lagi banyak tugasan yang perlu ditunaikan, dilaksanakan oleh kerajaan khususnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini seperti isu bekalan air,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan akan berlaku PRN bagi negeri Sabah memandangkan tempoh tamat penggal sudah tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya akan melaksana sekali gus menyelesaikan masalah-masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kita sudah mempunyai peruntukan sebanyak RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek yang kita rasa kalau siap nanti akan dapat melancarkan agihan air itu di Kota Kinabalu dan juga di daerah-daerah lain.

“InsyaAllah, dalam jangka masa tahun ini kita akan dapat selesaikan pelaksanaan projek untuk air ini,” jelasnya.