PEMADAM, AADK Akan Membendung Masalah Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Belia Sabah

PEMADAM, AADK Akan Membendung Masalah Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Belia Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri akan meneruskan agenda memperkasakan tindakan dalam memastikan permasalahan penyalahgunaan dadah di kalangan belia dapat dibendung dari semasa ke semasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, kerjasama utuh daripada kementerian dan pihak berkaitan selain sentiasa mencari pendekatan holistik untuk membantu mereka yang terjejas.

Jelas beliau, kementeriannya melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah akan memastikan perkara itu dilaksanakan melalui kaedah-kaedah tertentu.

“Justeru, PEMADAM dan AADK melalui strategi Pendidikan Pencegahan akan meneruskan pelaksanaan Program Bersasar Kesedaran Anti Dadah kepada golongan pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar IPT serta belia agar mereka tidak terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan yang berisiko tinggi di Negeri Sabah.

“Program-program ini akan dilaksanakan secara fizikal atau pun secara atas talian…

“Untuk makluman, PEMADAM Negeri Sabah mempunyai 35 buah cawangan di Daerah termasuk Daerah Kecil untuk melaksanakan program kesedaran anti dadah manakala AADK mempunyai sebanyak 9 cawangan di Daerah yang memberi perkhidmatan dan menjalankan penguatkuasaan.

“Selain daripada itu, AADK mempunyai Cure And Care Clinic dan sebuah lagi Pusat Pemulihan Penagih Dadah di Papar yang memberi perkhidmatan rawatan dan pemulihan,” katanya.

Ir Shahelmey Yahya…

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong dalam sesi sidang DUN hari ini.

Dalam sesi berkenaan, Jaujan mengajukan soalan berhubung usaha Kerajaan Negeri bagi menangani dan mengekang permasalahan penagihan dadah di kalangan anak-anak muda yang telah terjebak supaya tidak berleluasa di masa hadapan.

Sementara itu, Shahelmey berkata, program berbentuk kempen kesedaran juga sedang giat dilaksanakan dan untuk rekod, sebanyak RM550,000 diperuntukkan setiap tahun bagi tujuan berkenaan.

“Bagi pertanyaan tentang berapa jumlah yang dibelanjakan untuk kementerian saya, kita ada peruntukkan sebanyak RM550,000 untuk setahun bagi program kesedaran anti dadah…

“Selain itu, kita akan berkerjasama dengan AADK melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tujuan membenteras ini,” katanya.