KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, menafikan dakwaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bahawa bon hutang kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion dilangsaikan dengan sekali bayaran pada tahun lalu.
Sebaliknya, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata hutang berkenaan dibayar menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah yang ditubuhkan atas saranan Bank Negara ketika penerbitan bon itu pada tahun 2014.
Memetik laporan BH Online, beliau turut berkata bahawa kerajaan negeri telah mencarum ke dalam kumpulan wang itu pada setiap tahun supaya tidak membebankan apabila membayar hutang pada tarikh matang bon berkenaan iaitu tahun 2019.
“Pembayaran dibuat menggunakan ‘sinking fund’ yang dicarum sejak dari awal sebaik saja bon diterbitkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beberapa wakil rakyat pembangkang, termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini menyatakan kerajaan WARISAN berjaya menyelesaikan hutang lapuk kerajaan terdahulu sebanyak RM1 bilion.
Sementara itu, katanya laporan Ketua Audit Negara 2019 yang menyatakan kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah stabil bukan pencapaian kali pertama.
“Kerajaan negeri pernah menerima Sijil Bersih Penyata Kewangan Tahunan selama 19 tahun berturut-turut sejak tahun 2000…
“Disamping itu, kerajaan negeri juga mendapat penarafan tertinggi, tiga A daripada RAM Ratings sejak 2009.
“Insya Allah, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan kecemerlangan dan pengukuhan pengurusan kewangan negeri Sabah,” katanya.