KUALA LUMPUR: UMNO Sabah tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan perkara itu hanya akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Bung berkata, pertimbangan tersebut dibuat selepas melihat kemungkinan berlaku pertembungan di 11 kerusi antara UMNO dan GRS, termasuk kerusi DUN Lamag yang disandangnya sejak 2020.
“Kerjasama boleh dengan mana-mana parti, termasuk GRS… tapi selepas pilihan raya. Sekarang kita lawan dulu. Kerusi saya pun dia mahu ambil, macam mana mahu kerjasama sebelum pilihan raya?” katanya kepada Suara.TV, seperti yang dilaporkan hari ini.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Bung menegaskan UMNO Sabah tidak akan terlibat dalam sebarang pakatan tersebut.
“Itu urusan mereka. UMNO–BN Sabah fokus pada jentera sendiri. Kita tak terganggu dengan strategi PH atau GRS,” ujarnya.
Beliau turut mengakui mungkin berbeza pandangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan soal perpaduan politik, sambil menambah bahawa realiti politik Sabah berbeza.
“Perpaduan di Sabah sukar dicapai kerana banyak parti bertindih kerusi dengan UMNO,” jelasnya.
Terdahulu, GRS mengesahkan akan mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.






