Peluang Tidak Datang Banyak Kali

Peluang Tidak Datang Banyak Kali

0
SHARE
Lundayeh
Kumpulan penari etnik Lundayeh Sipitang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SIPITANG, SABAH – Hampir 100 lokasi sepanjang 152 km Jalan Kota Kinabalu ke Sipitang menjadi pilihan orang ramai untuk menunggu ketibaan Yang  di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara yang menarik perhatian ialah sekumpulan masyarakat etnik Lundayeh yang giat berlatih tarian sambut tamu khusus untuk menyambut Seri Paduka Baginda berdua.

Dengan memasang khemah di tepi jalan, kumpulan etnik Lundayeh yang diketuai Pastor, Danius Muda sangat berharap rombongan Seri Paduka Baginda akan meluangkan masa untuk singgah kerana peluang tidak datang banyak kali.

“Besar harapan kami agar rombongan Tuanku dapat singgah, kami di sini sejak jam 10 pagi untuk menyambut tetamu yang amat kami nantikan.

“Inilah peluang untuk rakyat biasa bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan peluang ini saya percaya tidak datang banyak kali, mungkin ia sekali seumur hidup,” katanya dengan nada rayuan.

Danius mengetuai sambutan terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan tarian gemah gemalai oleh empat wanita yang mengenakan busana etnik Lundayeh diiringi muzik tradisi gabungan gong, canang dan kulintangan dari Kampung Bahagia, Sipitang.

Terdahulu, Pengurus Hidden Paradise Resort Papar, Aminah Mariana Agoh, dari Kampung Kogopon Papar juga teruja dan menaruh harapan agar dia berpeluang berjumpa dengan Seri Paduka Baginda berdua.

“Saya sangat berharap dapat berjumpa dan bergambar dengan Baginda sama seperti mana rakan-rakan lain di media sosial.

“Peluang ini jarang-jarang ada, seorang raja sudi berjumpa rakyat di Sabah pula tu jadi momen begini sangat kami syukuri dan hargai,” ujarnya yang juga pengusaha gerai buah di Kampung Kogopon. 

Menurut Aminah, enam penari akan mempersembahkan tarian rampaian selama satu jam di samping tarian magunatip yang istimewa untuk Seri Paduka Baginda berdua di tapak sambutan di Kampung Kogopon Papar yang disertai lebih 500 orang.

Turut berharap, pasangan suami isteri, Hendry Luyan, 64, dan Jenny Jitom, 60, dari Kampung Ulu Bol Sipitang untuk menyampaikan hasrat hati mereka secara terus Yang di-Pertuan Agong.

Selain mengetuai Persatuan Murut Tahol Sipitang dan mempunyai 150 ahli, pasangan yang aktif dengan aktiviti kebajikan bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia itu bernaung di bawah organisasi kebajikan antarabangsa, Kelab Rotary dan sering menyertai misi-misi kebajikan antarabangsa di beberapa negara luar.

Seperti Hendry, satu lagi pasangan suami isteri dari Lawas, Sarawak iaitu Ramli Hamid bersama isteri serta anaknya hadir ke lokasi sambutan di Masjid Sahabat Merapok-Sindumin dekat sini teringin berjumpa empat mata dengan Seri Paduka Baginda berdua. — JABATAN PENERANGAN SABAH