KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki tempatan maut manakala rakan penumpangnya mengalami patah bahu apabila kereta Proton Saga FLX yang dinaiki mereka merempuh pokok di Jalan Coastal, berhampiran Sutera Harbour Resort di Sembulan, awal pagi semalam.
Amiljon Bin Musid, 40, dari Kampung Parade Petagas, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan penumpangnya yang berusia 51 tahun itu mengalami kecederaan patah bahu dalam kejadian pada 3:45 pagi itu.
Ketua Polis Bandaraya ACP M. Chandra berkata kedua-dua lelaki sedang menuju ke Kepayan dari pusat bandar Kota Kinablau apabila mangsa dikatakan hilang kawalan kereta lalu terbabas di pembahagi jalan sebelum merempuh pokok.
Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Pihak Bomba mengambil kira-kira sejam untuk membebaskan mereka.
“Amiljon disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan penumpangnya yang duduk dibahagian hadapan telah dibawa ke unit rawatan rapi di Hospital Queen Elizabeth 1,” katanya.
Polis menggesa saksi untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan insiden kemalangan ini di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.