KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh aspirasi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital dan infrastruktur, kesejahteraan guru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap aspek keadilan pendidikan, pendidikan inklusif luar bandar, penerapan nilai serta identiti tempatan dan pemerkasaan kepimpinan sekolah.
Beliau berkata, melalui sinergi erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, isu kritikal seperti sekolah daif dan kekurangan guru di pedalaman Sabah diyakini dapat diatasi secara tuntas dalam tempoh rancangan 10 tahun itu.
“Kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan agenda memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan serta mutu pendidikan di negeri ini, termasuk menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan.
“Kehadiran pegawai kanan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari ini melambangkan simbolik kerjasama yang utuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan, terutama ketika pelaksanaan fasa awal RPM 2026-2035 sedang digerakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-4 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sabah di Sabah International Convention Centre, pada Ahad.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, pendidikan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), walaupun bidang pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 bantuan pendidikan diperkenalkan kerajaan negeri dan semua inisiatif itu diteruskan pada tahun ini bagi membantu mengurangkan beban sekolah serta memastikan murid di Sabah tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana.
“Antara bantuan pendidikan yang disediakan ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).
“Turut disediakan ialah Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), selain pembiayaan pendidikan seperti biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian dan bantuan zakat,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Guru Besar memainkan peranan penting sebagai pemimpin utama sekolah dan menjadi tulang belakang dalam membentuk kualiti pendidikan serta masa depan generasi muda di negeri ini.
Menurutnya, cabaran dunia pendidikan masa kini menuntut pemimpin sekolah bukan sahaja cekap dalam pentadbiran, malah memiliki empati tinggi terhadap warga sekolah serta mampu memimpin perubahan.
“Justeru, saya berharap persidangan ini menjadi medan terbaik untuk merangka hala tuju masa depan, menilai pencapaian dan membincangkan strategi bagi menyokong agenda pendidikan negara.
“Saya juga berharap PGBM Sabah terus menjadi wadah kukuh dalam menyuarakan aspirasi Guru Besar demi memartabatkan profesion keguruan,” katanya.






