SEPANG, SELANGOR – Beberapa rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine kini telah selamat tiba di negara pada petang tadi.
Memetik laporan Berita Harian, rakyat Malaysia seramai sembilan orang bersama dua tanggungan warga asing tiba pada pukul 3.06 petang tadi.
Kesemua mereka diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan pesawat komersial dari Poland sebelum transit di Doha, seterusnya ke Malaysia.
Ketibaan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan tersebut turut disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di KLIA pukul 4.20 petang…
Pada 27 Februari lalu, media melaporkan seramai sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine susulan pencerobohan Rusia selamat tiba di Poland.
Mereka bersama dua tanggungan serta seorang warga Singapura dari Kyiv diketuai oleh Fadhilah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata terdapat 23 rakyat Malaysia di Ukraine, termasuk 12 sudah meninggalkan negara itu, manakala bakinya dalam perjalanan untuk keluar.





