Pejabat Kesihatan Tawau Giat Laksana Program Outreach PICKids

Pejabat Kesihatan Tawau Giat Laksana Program Outreach PICKids

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau giat melaksanakan program outreach PICKids di kawasan pedalaman bagi memastikan semua kanak-kanak termasuk yang tidak bersekolah atau tidak mempunyai dokumen mendapat suntikan vaksin.

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata data yang diperoleh pihaknya setakat ini hanya melibatkan lebih 27,000 murid sekolah dan beliau yakin masih ramai kanak-kanak yang tidak termasuk dalam data tersebut.

“Pihak kami sedaya upaya memastikan kanak-kanak diberikan vaksin agar dapat dilindungi daripada COVID-19 ini, demi kebaikan semua dan ke arah (fasa) endemik,” katanya.

Selain itu, katanya, kebimbangan ibu bapa terhadap kesan sampingan vaksinasi COVID-19 seperti demam dan badan berasa lemah menjadi antara faktor masih ramai kanak-kanak di Tawau yang belum menerima suntikan vaksin tersebut.

Dr Navindran berkata kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dan setakat ini hanya 8.2 peratus, atau 2,214 murid daripada 27,000, yang sudah menerima vaksinasi.

Selain itu, beliau berkata kanak-kanak yang menerima vaksinasi di Tawau rata-rata adalah murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, misalnya 60 peratus murid SRJK (C) Sin Hwa sudah menerima suntikan.

Sementara itu, kanak-kanak berusia lima tahun Andara Hayfa menjadi antara 150 kanak-kanak yang hadir mendapatkan vaksinasi COVID-19 di Dewan Sri Bitara Sekolah Kebangsaan Bahagia di sini kelmarin (1 Mac).

Andara berkata dia teruja serta bangga kerana sudah mengambil suntikan vaksin selepas melihat dua kakaknya berusia 10 dan 11 tahun disuntik di dewan sama.

“Tiada rasa sakit, kakak saya pun sudah vaksin,” katanya.

Bagi Nur Raisha Anwah, 11, yang hadir bersama ibu bapa serta dua adiknya berharap agar rakan sekolahnya turut mengambil vaksin COVID-19.

“Jangan takut, tidak sakit pun, ibu dan ayah cakap vaksin bagus untuk lawan COVID-19,” katanya ringkas dengan nada ceria.

– BERNAMA