Penambahbaikan Jejantas Petagas Bakal Tingkatkan Keselamatan Penduduk – Shahelmey

Penambahbaikan Jejantas Petagas Bakal Tingkatkan Keselamatan Penduduk – Shahelmey

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi yang berlaku di Putatan di Kampung Muhibbah pagi tadi ( Sumber Foto: Ihsan pejabat Ahli Parlimen Putatan )

PUTATAN, SABAH – Pembinaan dan penambahbaikan jejantas pejalan kaki di Petagas bakal memberikan impak terhadap peningkatan keselamatan kepada masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, perancangan berkaitan pembinaan jejantas itu yang telah bermula sejak tahun lalu kini diberikan keutamaan.

Jelasnya, pembinaan jejantas itu merupakan penambahan struktur sedia ada.

“Dalam bajet Negeri Sabah tahun 2025 yang telah diluluskan baru-baru ini telah dimasukkan perancangan untuk membina jejantas dikawasan tersebut.

“Saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, sini, hari ini.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata lawatan tersebut adalah sebagai tanda prihatin beliau diatas apa yang telah berlaku terhadap musibah yang melanda.

“Tujuan kita untuk mengadakan ziarah adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa serta melihat dan mendengar keadaan salah satu mangsa yang terlibat,” jelasnya.

Selain Shahelmey, turut hadir memberi sumbangan semasa ziarah tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia, Datuk Che Murad Sayang, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Ir. Mohd Safri Abdul Habi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri.

Kejadian kemalangan membabitkan keretapi dari arah Beaufort ke Kota Kinabalu dan pejalan kaki di Putatan pada Selasa lalu meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun, manakala anak lelakinya yang parah masih menerima rawatan di hospital.