Penunggang Motosikal Maut Akibat Melawan Arus di Putatan

Penunggang Motosikal Maut Akibat Melawan Arus di Putatan

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai melawan arus bertembung dengan sebuah motokar di Jalan Kota Kinabalu – Papar berhampiran Kampung Meruntum awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata kejadian berlaku sekitar jam 4.20 pagi apabila pihaknya menerima maklumat berhubung satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan motokar di lokasi tersebut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang dari arah Kinarut ke Putatan dipercayai berada di laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motokar dari arah Petagas ke Papar, berhadapan Kem Lok Kawi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Menurut Sammy, pemandu motokar yang berusia 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut memohon orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Amrin bin Mohamad Arif di talian 017-6638278,” katanya.