PUTATAN: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan motokar di KM 10, Jalan Papar–Kota Kinabalu, berhampiran Pusingan-U Taman Bersatu, pada malam Khamis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam.
“Motokar dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun membuat pusingan-U dari arah Kota Kinabalu ke Petagas, sebelum berlaku perlanggaran dengan motosikal dari arah Ketiau.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media.
Pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.






