Perlu Fokus Kepada Golongan Ibu Tunggal Untuk Capai Pembangunan Seimbang – Amisah

Perlu Fokus Kepada Golongan Ibu Tunggal Untuk Capai Pembangunan Seimbang – Amisah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata usaha untuk meningkatkan sokongan kepada golongan ibu tunggal adalah antara usaha yang wajar difokuskan khasnya dalam usaha untuk mencapai pembangunan yang seimbang.

Katanya, masih ramai ibu tunggal yang terpaksa hidup dalam keadaan yang menyedihkan bersama anak-anak setelah ditinggalkan suami atau kematian suami dan nasib mereka masih tidak dibela.

“Sokongan dan bantuan khususnya bantuan kebajikan seperti kemudahan tempat tinggal atau perumahan kepada golongan ibu tunggal yang kurang berkemampuan atau mempunyai bilangan anak yang ramai adalah perlu diambil kira dan ditingkatkan…

“Hal ini kerana, memang masih ramai ibu tunggal di luar sana yang memerlukan bantuan dari aspek kediaman, dan bayangkan keadaan mereka yang bergelut dengan permasalahan hidup, membanting tulang mencari rezeki dan membesarkan anak-anak dalam masa yang sama, ini bukan perkara mudah untuk dilakukan oleh seorang wanita,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Biro Pembangunan Wanita dan Hubungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Srikandi BERSATU Negeri Sabah disini hari ini.

Menurut Amisah, selain kebajikan golongan ibu tunggal, fokus juga wajar diberikan kepada golongan warga emas.

“Warga emas juga adalah golongan yang perlu kita berikan perhatian kerana kita tidak nafikan pada era milenium sebegini, masih ramai warga emas yang terbiar dan dipinggirkan oleh anak-anak mereka…

“Mereka pastinya memerlukan pusat penjagaan dan sokongan sosial dengan kadar bayaran yang sederhana dan berpatutan, bagi meringankan beban komitmen anak-anak yang sibuk bekerja.

“Ini juga adalah antara usaha untuk menarik perhatian anak-anak yang sibuk bekerja, untuk mendapatkan saluran jagaan ibu bapa yang tepat dan tidak membiarkan warga emas dalam jagaan mereka terabai,” ujar beliau lagi.