Kepimpinan BERSATU Sabah Sokong Penuh Pendekatan KM Hajiji Laksanakan PPN Fasa 1...

Kepimpinan BERSATU Sabah Sokong Penuh Pendekatan KM Hajiji Laksanakan PPN Fasa 1 Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah sepakat dan menyokong penuh pendekatan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1 bagi negeri Sabah yang telah dimulakan pada 29 Jun 2021 yang mana mengekalkan sebahagian besar Standard Operasi Prosedur (SOP) Negeri Sabah PKP 3.0.

Kepimpinan BERSATU Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Ketua Menteri Sabah adalah wajar serta seharusnya mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak tanpa mengira fahaman politik atas faktor seperti yang berikut;

1. Kes jangkitan COVID-19 harian bagi negeri Sabah berada di bawah angka yang rendah dan terkawal, atau dengan kata mudah, Sabah bukan berada dalam kategori negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian yang tinggi.

2. Adalah sesuatu yang tepat, Kerajaan Negeri membenarkan beberapa sektor ekonomi dan perniagaan terpilih untuk beroperasi dengan mematuhi SOP PKP 3.0. Kebenaran sektor ekonomi dan perniagaan beroperasi akan dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan yang dihadapi oleh para peniaga kerana tidak dibenarkan beroperasi untuk suatu tempoh yang lama akibat pelaksanaan PKP 3.0.

3. SOP perlu lebih fleksibel khususnya untuk negeri yang mencapai kadar dan kes jangkitan COVID-19 yang rendah. Adalah adil dan bertepatan bahawasanya hasrat dan usaha YAB Ketua Menteri Sabah ini, kerana beliau melihat rakyat negeri ini sudah memberikan yang terbaik dalam pematuhan SOP dan usaha rakyat bersama-sama pasukan barisan hadapan (frontliners) memerangi pandemik COVID-19.

4. Keputusan ini juga nyata bahawa Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai hala tuju tersendiri dengan mengambil maklum rintihan rakyat di negeri ini, khususnya membabitkan aspek kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat yang mendepani pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP untuk suatu tempoh masa yang lama.

Walau bagaimanapun, kepimpinan BERSATU memaklumkan bahawa mereka mesti tegas dan komited, agar kelonggaran ini dipantau sepenuhnya dan jika rekod jangkitan harian meningkat melebihi angka 200, adalah menjadi kewajaran untuk Kerajaan Negeri mengambil tindakan pencegahan termasuk mengetatkan dan menghadkan semula kebenaran operasi beberapa sektor ekonomi dan perniagaan.

Dalam pada masa yang sama, kepimpinan BERSATU Sabah berharap sedikit usaha dan inisiatif oleh Ketua Menteri Sabah ini mendapat sokongan daripada semua pihak, termasuklah pihak Pembangkang.

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

“Justeru, sekarang adalah masa untuk kita saling bantu-membantu dalam memastikan Sabah bebas sepenuhnya daripada wabak COVID-19, sekaligus mencapai sasaran imuniti kelompok, agar sektor ekonomi, sosial dan lain-lain dapat beroperasi semula seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu.