Lelaki 23 Tahun Ditemui Meninggal Dunia Dipercayai Terjatuh di Dewan Canselor UMS

Lelaki 23 Tahun Ditemui Meninggal Dunia Dipercayai Terjatuh di Dewan Canselor UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditemui meninggal dunia di dalam Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa ditemui terbaring di atas pentas Dewan Canselor UMS oleh dua orang pekerja penyelenggaraan kira-kira jam 10.10 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada jam 11.10 pagi,” katanya.

Menurut beliau, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dipercayai terjatuh di dalam Dewan Canselor UMS pada Rabu kira-kira jam 6.09 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh dan Pasukan Forensik IPK Sabah telah menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah terlibat dan kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, mangsa dikenal pasti sebagai Aiman Hakim Norazam, pelajar tahun satu Fakulti Sains dan Teknologi yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Marin dengan Kepujian.