Dua Suspek Kes Tipu Tanah, Pinjaman Wang Penampang Membabitkan RM92,200 Ditahan

Dua Suspek Kes Tipu Tanah, Pinjaman Wang Penampang Membabitkan RM92,200 Ditahan

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

PENAMPANG, SABAH – Bahagian Siasatan Kenayah Komersil daerah ini berjaya menangkap dua suspek kes tipu urusan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud pada Khamis.

Kes pertama melibatkan seorang suspek wanita tempatan berumur 44 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah dan disyaki terlibat dengan urusan jual beli tanah lot.

Ketua Polis Daerah Supt Sammy Newton berkata modus operandi suspek adalah dengan memperdaya mangsa untuk urusan jual beli lot tanah yang tidak wujud.

“Mangsa telah menyerahkan sejumlah wang deposit tunai bernilai RM85,000 kepada suspek bagi urusan pembelian tanah lot.

“Namun suspek telah membelanjakan wang tersebut untuk kegunanaan peribadi tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pemilik tanah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Kes kedua iaitu kejayaan tangkapan melibatkan seorang wanita tempatan berumur 31 tahun yang disyaki terlibat dengan kes penipuan pinjaman wang tidak wujud.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang yang tidak wujud.

“Mangsa telah diperkenalkan kepada abang suspek untuk tujuan membuat pinjaman wang dan telah dibawa ke sebuah syarikat pinjaman wang.

“Tidak lama kemudian suspek telah memperdaya mangsa kononnya abang suspek telah memukul individu yang menguruskan pinjaman wang tersebut dan bertindak meminta sejumlah wang daripada mangsa untuk tujuan ikat jamin polis.

“Akibat terpedaya mangsa kemudiannya telah mendepositkan sejumlah wang bernilai RM7,200 menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun suspek,” jelas Sammy.

Beliau berkata, kedua – dua suspek kes tipu tersebut berjaya diberkas dan telah direman untuk disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sammy berkata mutakhir terdapat peningkatan ketara melibatkan kes penipuan dalam transaksi kewangan.

“Justeru, pihak Polis ingin menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan transaksi kewangan kepada individu ataupun urusan jual beli yang meragukan,” tegasnya.