KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri melalui Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin sejajar panggilan solidariti yang diperjuangkan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia bukanlah soal agama atau bangsa Arab khususnya tapi hak asasi manusia dan sifat berperikemanusiaan kata Presiden PERKIS, merangkap Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Haji Lajim Bin Haji Ukin.
“Mana-mana agama pun sudah tentunya tidak akan berkompromi dengan keganasan dan pencerobohan keatas negara lain. Bahkan penyumbang bukan beragama Islam merupakan penyumbang terbesar hari ini…
“Kita berharap lebih ramai golongan berkemampuan dapat mencontohi amalan ingin membantu manusia lain untuk hidup dalam keadaan aman,” katanya.
Lajim berkata tabung itu akan terbuka kepada dermaan orang awam selama 45 hari bermula hari ini.
Selain kaedah pindahan wang segera ke Bank Muamalat Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah – 10010002943717 beberapa tabung juga akan diletakkan di masjid, surau-surau dan pusat keagamaan di seluruh negeri.
“Kita tidak mengira sumbangan yang hendak diberi, seringgit dua pun sudah tentu boleh membantu…
“Kutipan akan dikumpul oleh kerajaan negeri Sabah dan dihantar ke persekutuan bagi disalur kepada rakyat Palestin,” tambah beliau.
Meskipun tabung tersebut tidak mempunyai sasaran kutipan tetapi Lajim merasakan bahawa dalam tempoh 45 hari tersebut beberapa juta ringgit mampu terkumpul.
Melancarkan majlis tersebut di Sabah International Convention Center (SICC) petang tadi adalah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, mewakili Ketua Menteri.
“Kerajaan Sabah menyokong apa juga usaha dan perjuangan NGO demi membantu mana-mana masyarakat di dunia merentasi fahaman agama dan suku bangsa yang tertindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya…
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak saling bantu membantu, kekalkan hidup harmoni, hormati hak orang lain dan elakkan perbalahan yang boleh merosakkan negeri, negara dan kesejahteraan sejagat.
“Diharapkan dengan kerjasama NGO Islam lain di Sabah, kita dapat mengurangkan serba sedikit bebanan yang ditanggung oleh rakyat Palestin yang terkesan dengan penindasan dan serangan bersenjata oleh Zionis Israel,” katanya beliau.