Pelacuran ‘Online’: Dua Wanita Thailand Ditahan di Penampang

Pelacuran ‘Online’: Dua Wanita Thailand Ditahan di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Dua wanita warga Thailand berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan menerusi serbuan Op Noda yang dijalankan di sebuah hotel di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi bersepadu mencegah jenayah itu dijalankan sekitar jam 12.40 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan di sebuah bilik hotel terbabit, polis menemui dua wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti persundalan yang dijalankan melalui platform atas talian bagi mendapatkan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, tablet, kondom dan sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti persundalan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya.

Sammy berkata pihaknya akan terus mempergiat usaha memerangi kegiatan tidak bermoral di daerah itu.

“IPD Penampang komited dalam membanteras aktiviti tidak bermoral seperti persundalan, dan kami menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.