JENDELA 2: Sabah Mahu Kejayaan Diukur Pada Kualiti Internet, Bukan Sekadar Tambah...

JENDELA 2: Sabah Mahu Kejayaan Diukur Pada Kualiti Internet, Bukan Sekadar Tambah Menara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah mahu kejayaan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 di negeri ini tidak diukur semata-mata berdasarkan jumlah menara yang dibina atau kawasan yang diklasifikasikan mempunyai liputan, sebaliknya berdasarkan kualiti perkhidmatan Internet yang benar-benar dapat dinikmati rakyat.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, rakyat Sabah mesti menerima perkhidmatan Internet yang berkualiti, stabil dan boleh dipercayai, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi Sabah, kejayaan JENDELA 2 tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan berapa banyak menara yang dibina atau berapa banyak kawasan yang diklasifikasikan sebagai mempunyai liputan.

Ukuran kejayaan sebenar ialah sama ada penduduk di kawasan berkenaan benar-benar dapat mengakses Internet secara berkesan, konsisten dan boleh dipercayai dalam kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

James berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik dan menghargai usaha Kerajaan Persekutuan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam melaksanakan JENDELA Fasa 2 bagi terus memperkukuh infrastruktur digital dan kesalinghubungan di seluruh negara, termasuk Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghargai komitmen untuk memperluas akses Internet ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran dari segi liputan serta infrastruktur telekomunikasi.

“Bagaimanapun, kita mahu memastikan pelaksanaan JENDELA 2 tidak hanya diukur berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan atau sama ada ia disiapkan mengikut jadual.

“Apa yang lebih penting, rakyat Sabah mesti menerima perkhidmatan Internet yang berkualiti, stabil dan boleh dipercayai,” katanya.

Menurut James, pengalaman sebelum ini khususnya berkaitan prestasi kesalinghubungan Internet di sekolah-sekolah di seluruh Sabah perlu dijadikan pengajaran penting dalam pelaksanaan projek baharu.

“Kita sebelum ini telah membangkitkan kebimbangan mengenai prestasi kesalinghubungan Internet di sekolah-sekolah Sabah.

“Oleh itu, kita tidak mahu kelemahan yang sama berulang, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masyarakatnya amat bergantung kepada kesalinghubungan digital yang boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, bagi sektor pendidikan, kesalinghubungan Internet yang stabil bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya satu keperluan penting bagi memastikan guru dan pelajar dapat mengakses pembelajaran digital, platform pendidikan serta sumber dalam talian dengan berkesan.

“Sabah tidak akan berkompromi dalam soal kualiti kesalinghubungan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Apabila sesuatu projek telah dilaksanakan dan dianggap siap, rakyat seharusnya dapat menikmati perkhidmatan yang benar-benar berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, James menggesa MCMC memastikan syarikat atau Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang dilantik untuk melaksanakan Bahagian 2 JENDELA 2 mempunyai keupayaan teknikal, kapasiti operasi serta rekod prestasi yang terbukti.

“Kita mahu MNO yang dilantik bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan, tetapi juga mampu menyediakan kesalinghubungan yang baik dan konsisten selepas projek siap,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kualiti perkhidmatan perlu diberi kepentingan yang sama seperti pembangunan infrastruktur telekomunikasi.